Tuesday, 22 April 2014

Usaha Ke Arah Melahirkan Modal Insan Minda Kelas Pertama

Usaha Ke Arah Melahirkan Modal Insan Minda Kelas Pertama
Oleh : Karl Metalino John

            Dasawarsa ini, negara kita telah menempah nama di persada antarabangsa dan nama Malaysia tidak lagi asing di kaca mata dunia. Sejajar dengan itu, pembangunan di negara kita telah gah berkembang mengikut peredaran masa. Tidak hairanlah negara kita mampu berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju di persada dunia. Seiringan dengan itu, peluang pendidikan juga menuntut kepakaran ilmu yang setaraf dengan bidang yang ditawarkan agar mampu melahirkan modal insan minda kelas pertama. Oleh yang demikian, pelajar perlulah mendapat keputusan yang cemerlang agar mampu merebut peluang kerjaya yang ditawarkan di negara ini. Kementerian Pendidikan Malaysia memainkan peranan penting dalam mengorak langkah yang dinamik agar mampu melahirkan modal insan minda kelas pertama di negara ini. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang diambil oleh pihak kerajaan untuk melahirkan pelajar yang berprestasi tinggi di negara ini ?

            Antara usaha yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama ialah menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Buktinya, pelan ini telah mula dilaksanakan pada tahun 2013 untuk mencapai aspirasi dan visi negara kita melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua aspek sama ada dalam bidang akademik mahupun kurikulum. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia diwujudkan untuk mendukung Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pelan ini dihasilkan oleh kementerian melalui kajian dan penilaian yang mendalam serta penglibatan meluas oleh pihak awam. Berdasarkan kedudukan pencapaian sistem pendidikan Malaysia pada masa kini dan cabaran yang bakal ditempuhi, pelan ini bermatlamat untuk mengukuhkan visi dan aspirasi sistem pendidikan Malaysia sehingga tahun 2025. Pelan ini juga menyediakan hala tuju dasar dan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi mencapai matlamat sistem pendidikan di negara kita serta memenuhi hasrat dan keperluan semua pihak khususnya warga sekolah yang akan melahirkan bakal pemimpin untuk negara kita pada masa akan datang. Pendek kata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia mampu melahirkan golongan pelajar yang memiliki minda kelas pertama di negara ini.

            Selain itu, kerajaan juga memastikan setiap pelajar di negara ini wajib menerima pendidikan dari peringkat akar umbi agar mampu melahirkan golongan yang celik huruf kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pendidikan adalah merupakan keperluan asas bagi kanak-kanak seawal peringkat prasekolah lagi. Hal ini amat bertepatan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu, pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Golongan muda yang didedahkan dengan kepentingan ilmu pengetahuan nescaya mereka akan dapat memberi sumbangan dan jasa kepada negara apabila mereka mencapai alam kedewasaan kelak kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Pucuk pimpinan negara kita pada masa akan datang terletak pada bahu generasi muda pada hari ini. Oleh itu, tindakan kerajaan memastikan setiap pelajar menerima pendidikan wajib adalah amat wajar untuk melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama.

            Sejajar dengan itu, usaha yang diambil oleh pihak kerajaan bagi melahirkan modal insan minda kelas pertama ialah kerajaan memastikan setiap pelajar mendapat akses yang sama rata dalam pendidikan agar dapat meningkatkan pencapaian akademik para pelajar. Setiap kanak-kanak warganegara Malaysia, tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang berhak mendapat akses yang sama untuk pendidikan berkualiti bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing ke tahap yang optimum. Berasaskan pendidikan untuk semua, yang merupakan sebahagian daripada matlamat pembangunan milenium, sistem pendidikan Malaysia berhasrat untuk memastikan penyertaan sejagat dan enrolmen penuh dari peringkat prasekolah ke peringkat sekolah menengah atas iaitu Tingkatan 5, sama ada menerusi laluan akademik atau laluan teknik dan vokasional  yang setara. Komitmen ini termasuk memastikan semua murid mendapat tempat di sekolah dan kanak-kanak yang kini tidak bersekolah didekati secara proaktif, serta memastikan semua murid memenuhi standard minimum yang diterima, iaitu lulus mata pelajaran teras Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral pada akhir Tingkatan 5. Sementelahan pula, pelajar perlu belajar untuk mencari maklumat dan mempunyai keinginan untuk tahu yang tinggi terhadap sesuatu yang dipelajari agar mampu mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Dengan demikian, mereka boleh menghubungkan disiplin ilmu dan mencipta ilmu yang baharu. Murid juga perlu menguasai kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Pada peringkat yang paling asas, murid-murid perlu menguasai sepenuhnya kemahiran literasi dan numerasi. Dengan demikian, usaha kerajaan untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama pasti akan tercapai.

Di samping itu, usaha yang diambil oleh kerajaan untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama ialah memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan digalakkan untuk mempelajari bahasa tambahan. Hal ini demikian kerana kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia telah mewujudkan persekitaran semula jadi yang kondusif untuk melahirkan murid yang menguasai kemahiran dalam lebih daripada satu bahasa. Contohnya, pelajar yang mendapat pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua, dalam masa yang sama bukan sahaja dapat menguasai bahasa Mandarin bahkan dapat menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris sekali gus dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Penguasaan lebih daripada satu bahasa bukan sahaja mendatangkan faedah kepada diri pelajar malah dapat membantu murid untuk menyertai tenaga kerja global. Oleh itu, aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia adalah untuk memastikan setiap murid dari peringkat rendah hingga menengah, berpeluang untuk mempelajari bahasa tambahan. Dengan menguasai bahasa tambahan, pelajar akan dapat menyelami pelbagai budaya kaum di negara ini. Selain itu, peluang pekerjaan untuk pelajar yang dapat menguasai bahasa tambahan adalah amat tinggi. Hal ini demikian kerana majikan lazimnya gemar mengupah pekerja yang dapat menguasai bahasa tambahan kerana mereka dapat berkomunikasi dengan para pelanggan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa serta dapat melicinkan apa-apa urusan dengan pelanggan. Pendek kata, langkah kerajaan untuk memastikan setiap murid menguasai bahasa tambahan pasti dapat melahirkan modal insan minda kelas pertama.

Akhir sekali, kerajaan mengambil langkah untuk mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama di negara ini. Modal insan minda kelas pertama dipertaruhkan untuk memacu pembangunan negara dalam merealisasikan Wawasan 2020. Oleh itu, amatlah wajar aspek pendidikan guru menjadi agenda utama kementerian. Sesungguhnya, guru yang baik akan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran serta peka terhadap perkembangan pendidikan terkini dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman. Hal ini akan dapat membuat diri pendidik bersedia menerima sebarang perubahan pada sistem pendidikan selari dengan keperluan masa kini. Guru perlu mengajar murid untuk mempraktikkan ilmu dan mengaplikasikan serta mencetuskan idea baharu bagi menghasilkan modal insan yang setanding dengan aras antarabangsa sekurang-kurangnya pada tahap kategori tiga teratas dalam sistem pendidikan terbaik dunia menjelang wawasan 2020. Pendapat ini jelas disokong dengan kata-kata YB Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein dalam Perutusan Tahun Baru 2006 iaitu hasrat kita adalah untuk memastikan bukan sahaja kita dapat melahirkan guru yang berkualiti, tetapi lebih jauh daripada itu, iaitu untuk memastikan mereka yang berkualiti ini kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Kualiti guru merupakan faktor yang paling signifikan dalam menentukan keberhasilan murid kerana guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Hal ini bermaksud guru adalah contoh kepada murid-murid dan perlu memberi teladan yang baik kepada setiap pelajar. Oleh itu, profesion keguruan akan menjadi lebih berprestij dan elit apabila pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30% terbaik dalam negara. Guru pelatih akan menerima latihan yang sebaik mungkin dari mula mereka mengikuti program latihan hingga mereka bersara. Selaras dengan itu, kerajaan juga mengetatkan syarat kelayakan guru mulai tahun 2013 kerana hanya calon yang terbaik sahaja yang akan dipilih untuk mengikuti latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru. Hal ini bermakna kementerian akan meninggikan syarat kelayakan kemasukan ke profesion keguruan bagi memastikan semua guru yang mengikuti setiap latihan perguruan memenuhi syarat minimum kelayakan akademik. Kementerian akan memastikan standard yang sama digunakan dalam program latihan perguruan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Bagi memenuhi hasrat melahirkan guru berkualiti, kementerian akan memastikan kualiti kurikulum dan pensyarah ditingkatkan. Kementerian juga akan memastikan hanya pelatih yang terbaik sahaja yang akan lulus dan dijamin penempatan di sekolah awam. Dengan demikian, hanya guru-guru pelatih yang cemerlang sahaja akan mendapat penempatan terlebih dahulu di sekolah dan mula melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang pendidik yang berintegrasi dan berakauntabiliti serta berkebolehan untuk melaksanakan apa-apa tugasan yang diamanahkan oleh pihak sekolah.

Kesimpulannya, kerajaan amat menitikberat sistem pendidikan di negara ini demi mencapai standard pendidikan bertaraf antarabangsa. Pelbagai inisiatif telah diambil untuk memastikan aspirasi negara tercapai dan mendukung matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan pelajar yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan fizikal. Maka itu, semua pihak perlulah menggembleng tenaga ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah agar aspirasi negara untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama dapat dicapai. Justeru itu, tanggunggjawab ini bukan terletak pada bahu kerajaan sahaja tetapi melibatkan gandingan dan kerjasama semua pihak untuk menjayakan usaha yang dilaksanakan ke arah melahirkan modal insan minda kelas pertama. Sekolah turut memainkan peranan yang amat penting untuk membentuk pelajar yang berkualiti dan berdaya saing serta memiliki sifat kepemimpinan yang terpuji kerana pelajar yang cemerlang adalah merupakan tampuk kepimpinan negara. Tegasnya, kemajuan negara kita bergantung kepada keberhasilan semua pihak untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama di negara ini.






           
           
           

            

1 comment: