Tuesday 22 April 2014

Komunikasi dan kesantunan


Khairuddin Mohamad dalam buku Bahasa Melayu Kontekstual (2012), menjelaskan perkataan komunikasi berasal daripada bahasa Latin communiatus yang bererti berkongsi sesuatu. Pengertian ini menunjukkan bahawa ada perkongsian untuk mewujudkan satu persefahaman dalam komunikasi. Takrif mudah bagi komunikasi yang dilihat daripada perspektif penyebaran ialah komunikasi merupakan proses pengiriman maklumat, pemikiran, sikap atau emosi daripada seseorang  dengan menggunakan simbol-simbol seperti yang dikemukakan oleh Theodorson & Theodorson (1969).

            Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) memberi definisi komunikasi sebagai perhubungan secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, telefon dan lain-lain. Hasuria Che Omar (2009) dalam bukunya yang berjudul Bahasa Verbal Dan Bukan Verbal ll menyatakan bahawa komunikasi merupakan salah satu aktiviti semula jadi yang diperlukan oleh manusia. Menurut Musa & Jusang (2002:916), anak yang baru lahir akan terus berkomunikasi melalui tangisannya. Sesuai dengan didikan dan pengalamannya, seseorang itu akan memperoleh kemahiran berkomunikasi yang membolehkannya berinteraksi secara berkesan dengan orang lain dan persekitaran. Secara mudah bolehlah dikatakan bahawa komunikasi merupakan satu proses atau aktiviti pertukaran dan perkongsian makna, maklumat atau pengetahuan antara dua pihak. Pada lazimnya komunikasi akan berlaku secara lisan (verbal) atau tanpa lisan (bukan verbal). Komunikasi bukan lisan atau bukan verbal ialah komunikasi yang berlaku tanpa menggunakan sebarang perkataan atau lebih dikenali sebagai bahasa tubuh.

            Manakala kesantunan berbahasa bermaksud perlakuan yang mewujudkan dan mengekalkan pengiktirafan diri dalam suatu interaksi sosial. Kesantunan berbahasa berfungsi untuk mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa menimbulkan sebarang konflik antara penutur dan pendengar ketika proses komunikasi sedang berlaku.

3 comments:

  1. Tahniah dpt hasilkan blog. Smg dapat berkongsi ilmu pengetahuan dlm blog ni..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Dr. Sy akan terus berkongsi maklumat yang berguna kepada para pembaca dari semasa ke semasa.

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete