Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) mendefinisikan pendidikan sebagai perihal mendidik. Konsep pula dinyatakan sebagai pengertian am atau idea yang mendasari sesuatu. Justeru itu, konsep pendidikan dapatlah disimpulkan sebagai pengertian am atau idea yang mendasari perihal mendidik.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), integrasi
bermaksud penggabungan atau pergabungan dua atau beberapa kaum (unsur, bahagian
dan lain-lain) menjadi satu kesatuan. Manakala nasional pula berkaitan dengan
bangsa dan kebangsaan. Program integrasi nasional ialah aktiviti penggabungan
dua atau beberapa kaum yang berkaitan dengan bangsa dan kebangsaan. Kerajaan
amat menitikberat perpaduan kaum di negara ini. Pelbagai usaha telah dijalankan
bagi memupuk semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut Zulhilmi Paidi (2005), sebagai sebuah negara yang
mempunyai masyarakat majmuk, cabaran yang paling utama yang terpaksa dipikul
oleh para pemimpin negara ialah mengekalkan hubungan baik antara penduduk.
Walaupun pada umumnya selepas mencapai kemerdekaan, Malaysia sering digambarkan
sebagai sebuah negara yang aman dan masyarakatnya bersatu padu, namun gambaran
ini musnah akibat berlakunya peristiwa rusuhan pada 13 Mei 1969.
Peristiwa 13 Mei merupakan peristiwa yang sangat penting
dalam sejarah perkembangan negara dan bangsa Malaysia. Pada umumnya,
kepentingan peristiwa tersebut menjadi satu titik utama ke arah pemikiran
semula dasar-dasar negara dan proses re-enggineering
masyarakat dilakukan dengan komprehensif meliputi semua bidang iaitu
ekonomi sosial dan politik. Ia bertujuan merapatkan semula jurang antara kaum
yang selama ini wujud dalam hubungan sosial mereka.
Bagi melaksanakan proses pembangunan di Malaysia, para
cendekiawan dan pemimpin negara sudah merancang beberapa agenda yang bakal mendatangkan
faedah yang besar untuk negara. Keperluan agenda-agenda tersebut adalah bagi
mengatasi masalah-masalah yang sedia ada, malah juga bagi mendatangkan kemajuan
demi membangunkan negara. Antara dasar-dasar baru yang diperkenalkan ialah
Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan
dan pengenalan kepada Rukun Negara yang merupakan ideologi nasional.
Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah
melancarkan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sejak tahun 1986.
Program ini pada awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan
kini diperluaskan ke semua sekolah
rendah dan menengah pada tahun 2005.
KPM memandang berat akan kepentingan hubungan rapat yang
dijalin dalam kalangan murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman
dan perpaduan antara mereka. Dengan adanya persefahaman dan berbaik sangka maka
akan timbul suasana hormat-menghormati terhadap agama, budaya, dan adat resam
sesuatu kaum dengan kaum yang lain.
KPM menyediakan peluang kepada murid pelbagai kaum untuk
bergaul mesra secara sedar dan terancang. Proses perpaduan ini dapat dipupuk
dan dibina agar semangat tersebut dapat diamalkan dalam kalangan masyarakat. Usaha
ini dijana semula ke arah merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan
rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni.
Sehubungan dengan itu, sekolah memainkan peranan yang
amat penting untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar yang
terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum di negara ini. Para pelajar perlu
dipupuk dengan nilai-nilai murni supaya mereka saling menghormati antara satu
sama lain sejak peringkat awal lagi.
Maka itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Batu 15
telah mengadakan sambutan Hari Terbuka Sekolah untuk warga sekolah khususnya
kepada para guru, pelajar dan ibu bapa. Sambutan ini diadakan bagi memupuk
perpaduan kaum dalam kalangan guru, pelajar dan ahli keluarga malahan bertujuan
untuk mengeratkan silaturahim antara warga sekolah.
No comments:
Post a Comment