Saat-saat
menuntut ilmu di SMK Penrissen No.1 tidak akan pernah pudar daripada ingatanku
bahkan kenangan belajar di sekolah ini akan menjadi memori yang nostalgik buat
diri ini selama-lamanya. Selama lima tahun belajar di sini, begitu banyak suka
duka yang dilalui bersama-sama guru dan rakan-rakan seperjuangan. Saya akui
pengalaman menuntut ilmu di sini banyak mematangkan saya sebagai seorang
pelajar di sekolah ini. Sementelahan, pengalaman menjadi seorang pengawas telah
membentuk keperibadian saya agar menjadi seorang pelajar yang berdikari dan
percaya terhadap kemampuan diri sendiri.
Setelah menduduki peperiksaan
Penilaian Menengah Rendah (PMR), saya telah ditempatkan di kelas 4S2. Namun,
saya telah memohon untuk bertukar ke kelas lain. Oleh sebab minat yang mendalam
dalam bidang sastera, saya telah memohon untuk bertukar ke kelas 4A1 dan
permohonan saya mendapat kelulusan daripada pihak sekolah. Ketika itu, saya
percaya bahawa setiap pelajar akan berjaya jika mempunyai hala tuju yang jelas
dalam hidup mereka. Sejak kecil lagi, saya telah menanam cita-cita untuk
menjadi seorang pendidik apabila telah tamat sekolah kelak. Semasa berada di
tingkatan 5A1, saya telah menanam azam yang tinggi untuk mencapai keputusan
yang cemerlang dan sekali gus ingin mengubah persepsi para pelajar bahawa
pelajar daripada aliran sastera juga boleh mencapai keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan. Walaupun sibuk dengan rutin harian, namun soal pelajaran tidak
pernah diabaikan dan saya sering menasihatkan diri sendiri bahawa saya harus
berjaya dan tidak ingin mensia-siakan waktu yang ada di bangku sekolah untuk
menimba ilmu kerana ilmu adalah pelita hidup.
Setelah tamat menduduki peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2012, saya telah berjaya memperolehi
keputusan yang cemerlang dalam SPM. Oleh sebab minat yang mendalam dalam bidang
perguruan, saya telah memohon profesion perguruan sebagai pilihan kerjaya pada
masa hadapan. Setelah menjalani temu duga dan ujian saringan, saya telah
terpilih untuk menjalani kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru Kampus
Bahasa Melayu, Kuala Lumpur. Saya kini bergelar guru pelatih di IPG Kampus
Bahasa Melayu dan mengambil major dalam subjek Bahasa Melayu dan minor dalam
subjek Pendidikan Jasmani. Kini, saya sedang mengikuti Program Ijazah Sarjana
Muda Perguruan yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia selama lima
tahun.
Sebagai seorang pelajar di IPG, saya
akui banyak pengalaman yang saya perolehi di sini. Para pensyarah banyak
memberi bimbingan kepada saya terutama dalam bidang pelajaran. Di IPG, kami
semua dilatih dengan pelbagai kemahiran agar dapat mempersiapkan para pelajar
untuk menjadi bakal guru yang bersedia untuk memikul tanggungjawab di sekolah
kelak. Bahkan kami juga dilatih untuk mengendalikan program-program rasmi di
institut. Saya juga aktif dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan di IPG dan
melibatkan diri dalam apa-apa jua aktiviti yang dijalankan kerana saya ingin
memperoleh pengalaman untuk bekalan pada masa-masa akan datang. Selain itu,
saya juga telah memberi sumbangan kepada institut dan mengharumkan nama
institut dengan mewakili institut dalam pertandingan ke peringkat antarabangsa
serta memimpin organisasi yang dilaksanakan di institut.
Kesimpulannya, saya ingin mendorong
para pelajar agar belajar dengan bersungguh-sungguh supaya dapat mencapai
impian dan cita-cita yang tersemat di dalam diri mereka. Kejayaan memerlukan
pengorbanan kerana hanya individu yang berusaha sahaja yang akan mengecapi
kejayaan dalam kehidupan. Tiada perkara yang mustahil asalkan kita mempunyai
azam untuk berjaya. Pendek kata, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan! Ayuh
bersama-sama mengharumkan nama sekolah kita, iaitu SMK Penrissen No.1 juga
mampu mengeluarkan produk yang berkualiti dan buktikan bahawa sekolah luar
bandar juga mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan
sekolah-sekolah di bandar.
1.1
Menerima Anugerah Citra Perguruan atas jasa dan sumbangan
di IPG
1.2 Perkhemahan Bina Insan Guru
No comments:
Post a Comment