Saturday, 3 May 2014

Dini hari

Selamat bertemu kembali kepada para pembaca yang setia mengikuti perkembangan blog saya. Baiklah, saya telah menghasilkan sebuah sajak yang mempunyai unsur-unsur kesyukuran terhadap ciptaan Tuhan. Selamat menghayati. 





Dini hari,
Engkau hadir sebelum fajar menyingsing,
Kedinginan pagi menusuk ke dalam setiap sumsum tulangku,
Kekuatan embun pagi begitu luar biasa buat insan sepertiku,
Begitu indah sekali ciptaan yang Maha Esa.

Saat mataku terbuka,
Baru ku sedar bahawa aku masih diberi peluang untuk menghirup udara segar,
Lantas terdetik di dalam hati ini,
Betapa bertuahnya insan biasa yang kerdil ini kerana masih diberi nafas dan nikmat hidup yang baharu.

Segala puji dan syukurku, 
Ku panjatkan kepada Ilahi,
Hanya ungkapan syukron yang mampu aku luahkan,
Tidak henti-henti memuji kebesaran dan keagungan sang Maha Pencipta.

Tuesday, 22 April 2014

Sajak untuk peristiwa MH370

Semasa mengikuti kuliah Statistik Asas pada hari ini, pensyarah saya tiba-tiba meminta kami semua untuk menghasilkan sajak yang bertemakan "Segugus Pasrah Buatmu". Semua pelajar terpingga-pingga sebab waktu tersebut ialah khas untuk subjek Matematik dan bukannya Bahasa Melayu. Hahaha... 

Mana tidaknya, selama ini perbincangan kami tidak pernah pun menyentuh isu-isu bahasa dan penulisan kreatif. Kami diberi masa selama 30 minit untuk menghasilkan sebuah sajak kerana menurut pensyarah saya, beliau ingin mencungkil bakat pelajar di kelas saya.

Apa lagi, semua pun bergegas mengeluarkan kertas dan mula memikirkan isi-isi yang ingin dituliskan. Saya pula mula memeras otak dan fikir apakah tajuk yang sesuai untuk sajak yang akan saya hasilkan ? Hurmmmm ...... 


Memandangkan insiden kehilangan pesawat MH370 berlaku pada 8 Mac 2014 yang lalu, maka saya pun memilih tajuk Peristiwa Lapan Tiga Empat Belas sebagai tajuk sajak saya. Baiklah, tanpa membuang masa, saya ingin mengajak para pembaca untuk menghayati hasil nukilan saya. Selamat membaca.  J


PERISTIWA LAPAN TIGA EMPAT BELAS
oleh : karl metalino john


Wahai MH370,
Engkau pergi begitu sahaja meninggalkan kami,
Pergimu tiada seorang pun yang merelakan,
Apakan daya malang tidak berbau.

Dikala pemergianmu menjadi tanda tanya,
Pelbagai khabar angin yang kami terima,
Betapa runtunnya jiwa melihat ahli keluarga menangisi pemergianmu.

Ku sangka pergimu ibarat pelangi muncul selepas hujan,
Namun jauh sekali andaianku,
Engkau tetap menyepi sehingga kini.

Mungkinkah masih ada harapan buatmu ?
Mungkinkah masih boleh ku kecapi sinaran suria?
Mungkinkah pemergianmu bakal menjawab segala persoalan ?

Ya Tuhan,
Kupanjatkan doa kepada-Mu,
Semoga MH370 dapat kembali dengan selamat ke tanah air tercinta.

Jika hilang maka temukan,
Jika tenggelam maka timbulkan,
Jika dirampas maka pulangkan,
Jika ghaib maka kami hanya mampu reda dengan segala-galanya.




Jangan lupa memberi komen ya untuk penambahbaikan kerana saya juga sedang belajar. Hehe .. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa anda bersama saya.

Faktor-faktor pencemaran laut



Punca utama pencemaran laut adalah disebabkan oleh bahan buangan domestik seperti sampah sarap dan bahan kumbahan yang dibuang sewenang-wenangnya ke dalam sungai dan seterusnya mengalir ke laut. Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil jalan mudah dengan menyalirkan bahan kumbahan ke dalam sistem saliran dan perparitan. Apabila sampah organik domestik ini mereput dan diuraikan oleh bakteria dengan oksigen yang terlarut di dalam air maka, wujud keadaan kekurangan oksigen dalam air yang menggugat kehidupan akuatik. Selain itu, pembangunan industri perkilangan berhampiran kawasan laut juga juga turut menjadi punca pencemaran laut.

            Lokasi di persisiran pantai dan tebing sungai menjadi kawasan tumpuan industri perkilangan dan sektor perhotelan dengan alasan dapat menerima kunjungan pelancong dengan kapasiti yang ramai pada satu-satu masa serta sekaligus menyumbang kepada pendapatan negara dan juga rakyat kawasan sekitar. Malangnya hasil kumbahan dan bahan tercemar seperti toksik, bahan pelarut dan bahan pencuci yang dialirkan secara terus ke dalam sungai daripada kawasan pelancongan dan industri tersebut telah memusnahkan ekosistem semulajadi alam. Tidak dapat dinafikan, antara faktor utama pemilihan lokasi di pinggir pantai dan tebing sungai adalah untuk mengalirkan bahan buangan tersebut.

Tumpahan minyak akibat perlanggaran kapal sering mengancam keselamatan penduduk dan menjejaskan habitan marin, tumpahan minyak menyebabkan kekurangan oksigen dan seterusnya membunuh hidupan akuatik seperti ikan dan karangan. Sebagai contoh, di dalam artikel Khairul Mustapha (2010), pelanggaran kapal MV Waily dengan kapal tangki MT Bunga 3 yang membawa 61 858 tan metrik minyak mentah telah menyebabkan berlakunya pertumpahan minyak berhampiran Tanjung Ayam.

Sektor pertanian sering dikaitkan dengan pencemaran air, penggunaan baja berasaskan kimia seperti pestisid dan insektisid untuk membunuh haiwan perosak dialirkan oleh air hujan terus ke dalam sungai dan mengalir ke laut, secara tidak langsung air sungai dan laut telah tercemar. Selain itu, bahan-bahan tersebut menghalang penembusan cahaya ke bawah permukaan air dan mengakibatkan kematian tumbuh-tumbuhan air dan hidupan akuatik serta turut mengancam dan membahayakan kesihatan manusia.

Kegiatan penerokaan sumber petroleum dan cari gali gas juga membawa kepada pencemaran air laut. Kebocoran paip-paip gas bawah laut dan tumpahan minyak jentera semakin memburukkan keadaan. Kegiatan perlombongan ini semakin berleluasa dan dijangka pencemaran laut menjadi semakin serius. Bahan tercemar seperti bahan radioaktif, alat uji kaji makmal dan bahan buangan daripada hospital juga menyebabkan pencemaran laut. Bahan-bahan ini tidak dilupuskan mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak telah merosakkan ekosistem laut dan air. Ujian bom dan nuklear di laut secara jelas memberikan kesan negatif kepada perkembangan hidupan laut.


Secara keseluruhannya, kebanyakan pencemaran air laut berpunca daripada kegiatan manusia yang tidak bertimbang rasa terhadap alam sekitar. Mereka hanya memikirkan tentang kebaikan dan kemewahan untuk diri mereka sendiri. Akibatnya, alam sekitar yang menjadi mangsa untuk memenuhi kehendak mereka. 

Kata Kerja Transitif dan Kata Kerja Tak Transitif

Binaan Frasa Kerja

Binaan frasa kerja boleh terdiri daripada kata kerja tak transitif (KKTT) atau kata kerja transitif (KKT).  Kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek. KKTT tidak diikuti oleh frasa nama sebagai penyambut untuk melengkapkannya kerana KKTT boleh hadir bersendirian. Perhatikan contoh berikut :
                              i.        Ali menang.
                             ii.        Hujan turun dengan lebatnya.
                            iii.        Belukar itu terbakar perlahan-lahan.

Kata kerja menang, turun, dan terbakar tidak diikuti oleh frasa nama sebagai objek oleh itu kata kerja ini tergolong  sebagai kata kerja tak transitif. Kata kerja tak transitif ini boleh diikuti oleh unsur pelengkap dan penerang. Pelengkap ialah perkataan yang hadir selepas kata kerja tak transitif dan berfungsi untuk melengkapkan kata kerja tersebut. Pelengkap tidak boleh ditiadakan kerana tanpanya kata kerja tersebut tidak sempurna. Berikut adalah contoh-contohnya :

Kata Kerja Tak Transitif
Pelengkap
berbantalkan
lengan
bertilamkan
rumput
berselimutkan
embun

Kata kerja transitif (KKT) ialah kata kerja yang memerlukan objek, iaitu kata kerja ini mesti diikuti oleh frasa nama sebagai penyambut untuk melengkapkan kata kerja tersebut. Perhatikan contoh berikut :


Kata Kerja Transitif
Penyambut
menyidai
baju
membaca
buku
menaip
surat

Takrif frasa, klausa dan ayat

Frasa ialah binaan yang boleh terdiri daripada sekurang-kurangnya satu perkataan yang berpotensi untuk berkembang menjadi dua perkataan atau lebih dan berfungsi sebagai konstituen dalam binaan ayat, sama ada sebagai subjek, predikat, objek atau keterangan. Frasa mengandungi subjek atau predikat. Selain itu, frasa tidak membawa maksud yang lengkap yang boleh dikatakan sebagai satu ayat.

Klausa ialah satu rangkaian perkataan yang terdiri daripada subjek dan predikat yang menjadi konstituen kepada ayat. Selain itu, ayat yang membentuk ayat majmuk juga dipanggil klausa.


Ayat ialah unit tatabahasa yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap. Unsur yang terkandung dalam ayat ialah klausa dan bilangan klausa dalam sesuatu ayat akan menentukan jenis ayat, sama ada ayat tunggal atau ayat majmuk. Ayat tunggal ialah ayat yang hanya mengandungi satu klausa. Contohnya, Saiful guru. Manakala ayat majmuk ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu klausa. Contohnya, Saiful guru manakala adiknya doktor.

Takrifan Sintaksis

Jika ditinjau asal usul perkataan sintaksis, kata ini berasal daripada perkataan Yunani, iaitu sun yang bererti “dengan” dan tattein yang bererti “menempatkan kata-kata secara bersama-sama untuk menjadi kelompok kata atau ayat”. Kata suntattein ini kemudian menjadi istilah syntaxis dalam bahasa Belanda, dan synta dalam bahasa Ingeris.

    Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008) sintaksis ditakrifkan sebagai bidang ilmu yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan ayat atau konstruksi ayat. Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat tetapi juga hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan bagi membentuk ayat dalam bahasa.

            Menurut Nik Safiah Karim (2008), sintaksis dapat ditakrifkan sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis juga dikenali sebagai kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.

            Asmah (1968) menyatakan bahawa sintaksis adalah bahagian daripada linguistik deskriptif dan sinkronis yang mempelajari kombinasi kata-kata dalam rangkai kata dan ayat. Selain itu, Abdullah Hassan (2006) dalam buku bertajuk ‘Sintaksis Bahasa Melayu’ ada menyatakan unsur-unsur yang dikaji dalam dalam sintaksis adalah ayat, klausa dan frasa. Menurut Abdullah Hassan (2006) lagi dalam buku Linguistik Am yang memerihal sintaksis melibatkan hubungan gramatis antara kata dengan kata, frasa dengan frasa dan ayat dengan ayat bagi membina ayat.

Komunikasi dan kesantunan


Khairuddin Mohamad dalam buku Bahasa Melayu Kontekstual (2012), menjelaskan perkataan komunikasi berasal daripada bahasa Latin communiatus yang bererti berkongsi sesuatu. Pengertian ini menunjukkan bahawa ada perkongsian untuk mewujudkan satu persefahaman dalam komunikasi. Takrif mudah bagi komunikasi yang dilihat daripada perspektif penyebaran ialah komunikasi merupakan proses pengiriman maklumat, pemikiran, sikap atau emosi daripada seseorang  dengan menggunakan simbol-simbol seperti yang dikemukakan oleh Theodorson & Theodorson (1969).

            Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) memberi definisi komunikasi sebagai perhubungan secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, telefon dan lain-lain. Hasuria Che Omar (2009) dalam bukunya yang berjudul Bahasa Verbal Dan Bukan Verbal ll menyatakan bahawa komunikasi merupakan salah satu aktiviti semula jadi yang diperlukan oleh manusia. Menurut Musa & Jusang (2002:916), anak yang baru lahir akan terus berkomunikasi melalui tangisannya. Sesuai dengan didikan dan pengalamannya, seseorang itu akan memperoleh kemahiran berkomunikasi yang membolehkannya berinteraksi secara berkesan dengan orang lain dan persekitaran. Secara mudah bolehlah dikatakan bahawa komunikasi merupakan satu proses atau aktiviti pertukaran dan perkongsian makna, maklumat atau pengetahuan antara dua pihak. Pada lazimnya komunikasi akan berlaku secara lisan (verbal) atau tanpa lisan (bukan verbal). Komunikasi bukan lisan atau bukan verbal ialah komunikasi yang berlaku tanpa menggunakan sebarang perkataan atau lebih dikenali sebagai bahasa tubuh.

            Manakala kesantunan berbahasa bermaksud perlakuan yang mewujudkan dan mengekalkan pengiktirafan diri dalam suatu interaksi sosial. Kesantunan berbahasa berfungsi untuk mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa menimbulkan sebarang konflik antara penutur dan pendengar ketika proses komunikasi sedang berlaku.