Tuesday, 22 April 2014

Takrifan Sintaksis

Jika ditinjau asal usul perkataan sintaksis, kata ini berasal daripada perkataan Yunani, iaitu sun yang bererti “dengan” dan tattein yang bererti “menempatkan kata-kata secara bersama-sama untuk menjadi kelompok kata atau ayat”. Kata suntattein ini kemudian menjadi istilah syntaxis dalam bahasa Belanda, dan synta dalam bahasa Ingeris.

    Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008) sintaksis ditakrifkan sebagai bidang ilmu yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan ayat atau konstruksi ayat. Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat tetapi juga hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan bagi membentuk ayat dalam bahasa.

            Menurut Nik Safiah Karim (2008), sintaksis dapat ditakrifkan sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis juga dikenali sebagai kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.

            Asmah (1968) menyatakan bahawa sintaksis adalah bahagian daripada linguistik deskriptif dan sinkronis yang mempelajari kombinasi kata-kata dalam rangkai kata dan ayat. Selain itu, Abdullah Hassan (2006) dalam buku bertajuk ‘Sintaksis Bahasa Melayu’ ada menyatakan unsur-unsur yang dikaji dalam dalam sintaksis adalah ayat, klausa dan frasa. Menurut Abdullah Hassan (2006) lagi dalam buku Linguistik Am yang memerihal sintaksis melibatkan hubungan gramatis antara kata dengan kata, frasa dengan frasa dan ayat dengan ayat bagi membina ayat.

Komunikasi dan kesantunan


Khairuddin Mohamad dalam buku Bahasa Melayu Kontekstual (2012), menjelaskan perkataan komunikasi berasal daripada bahasa Latin communiatus yang bererti berkongsi sesuatu. Pengertian ini menunjukkan bahawa ada perkongsian untuk mewujudkan satu persefahaman dalam komunikasi. Takrif mudah bagi komunikasi yang dilihat daripada perspektif penyebaran ialah komunikasi merupakan proses pengiriman maklumat, pemikiran, sikap atau emosi daripada seseorang  dengan menggunakan simbol-simbol seperti yang dikemukakan oleh Theodorson & Theodorson (1969).

            Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) memberi definisi komunikasi sebagai perhubungan secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, telefon dan lain-lain. Hasuria Che Omar (2009) dalam bukunya yang berjudul Bahasa Verbal Dan Bukan Verbal ll menyatakan bahawa komunikasi merupakan salah satu aktiviti semula jadi yang diperlukan oleh manusia. Menurut Musa & Jusang (2002:916), anak yang baru lahir akan terus berkomunikasi melalui tangisannya. Sesuai dengan didikan dan pengalamannya, seseorang itu akan memperoleh kemahiran berkomunikasi yang membolehkannya berinteraksi secara berkesan dengan orang lain dan persekitaran. Secara mudah bolehlah dikatakan bahawa komunikasi merupakan satu proses atau aktiviti pertukaran dan perkongsian makna, maklumat atau pengetahuan antara dua pihak. Pada lazimnya komunikasi akan berlaku secara lisan (verbal) atau tanpa lisan (bukan verbal). Komunikasi bukan lisan atau bukan verbal ialah komunikasi yang berlaku tanpa menggunakan sebarang perkataan atau lebih dikenali sebagai bahasa tubuh.

            Manakala kesantunan berbahasa bermaksud perlakuan yang mewujudkan dan mengekalkan pengiktirafan diri dalam suatu interaksi sosial. Kesantunan berbahasa berfungsi untuk mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa menimbulkan sebarang konflik antara penutur dan pendengar ketika proses komunikasi sedang berlaku.

Usaha Ke Arah Melahirkan Modal Insan Minda Kelas Pertama

Usaha Ke Arah Melahirkan Modal Insan Minda Kelas Pertama
Oleh : Karl Metalino John

            Dasawarsa ini, negara kita telah menempah nama di persada antarabangsa dan nama Malaysia tidak lagi asing di kaca mata dunia. Sejajar dengan itu, pembangunan di negara kita telah gah berkembang mengikut peredaran masa. Tidak hairanlah negara kita mampu berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju di persada dunia. Seiringan dengan itu, peluang pendidikan juga menuntut kepakaran ilmu yang setaraf dengan bidang yang ditawarkan agar mampu melahirkan modal insan minda kelas pertama. Oleh yang demikian, pelajar perlulah mendapat keputusan yang cemerlang agar mampu merebut peluang kerjaya yang ditawarkan di negara ini. Kementerian Pendidikan Malaysia memainkan peranan penting dalam mengorak langkah yang dinamik agar mampu melahirkan modal insan minda kelas pertama di negara ini. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang diambil oleh pihak kerajaan untuk melahirkan pelajar yang berprestasi tinggi di negara ini ?

            Antara usaha yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama ialah menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Buktinya, pelan ini telah mula dilaksanakan pada tahun 2013 untuk mencapai aspirasi dan visi negara kita melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua aspek sama ada dalam bidang akademik mahupun kurikulum. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia diwujudkan untuk mendukung Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pelan ini dihasilkan oleh kementerian melalui kajian dan penilaian yang mendalam serta penglibatan meluas oleh pihak awam. Berdasarkan kedudukan pencapaian sistem pendidikan Malaysia pada masa kini dan cabaran yang bakal ditempuhi, pelan ini bermatlamat untuk mengukuhkan visi dan aspirasi sistem pendidikan Malaysia sehingga tahun 2025. Pelan ini juga menyediakan hala tuju dasar dan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi mencapai matlamat sistem pendidikan di negara kita serta memenuhi hasrat dan keperluan semua pihak khususnya warga sekolah yang akan melahirkan bakal pemimpin untuk negara kita pada masa akan datang. Pendek kata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia mampu melahirkan golongan pelajar yang memiliki minda kelas pertama di negara ini.

            Selain itu, kerajaan juga memastikan setiap pelajar di negara ini wajib menerima pendidikan dari peringkat akar umbi agar mampu melahirkan golongan yang celik huruf kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pendidikan adalah merupakan keperluan asas bagi kanak-kanak seawal peringkat prasekolah lagi. Hal ini amat bertepatan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu, pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Golongan muda yang didedahkan dengan kepentingan ilmu pengetahuan nescaya mereka akan dapat memberi sumbangan dan jasa kepada negara apabila mereka mencapai alam kedewasaan kelak kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Pucuk pimpinan negara kita pada masa akan datang terletak pada bahu generasi muda pada hari ini. Oleh itu, tindakan kerajaan memastikan setiap pelajar menerima pendidikan wajib adalah amat wajar untuk melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama.

            Sejajar dengan itu, usaha yang diambil oleh pihak kerajaan bagi melahirkan modal insan minda kelas pertama ialah kerajaan memastikan setiap pelajar mendapat akses yang sama rata dalam pendidikan agar dapat meningkatkan pencapaian akademik para pelajar. Setiap kanak-kanak warganegara Malaysia, tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang berhak mendapat akses yang sama untuk pendidikan berkualiti bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing ke tahap yang optimum. Berasaskan pendidikan untuk semua, yang merupakan sebahagian daripada matlamat pembangunan milenium, sistem pendidikan Malaysia berhasrat untuk memastikan penyertaan sejagat dan enrolmen penuh dari peringkat prasekolah ke peringkat sekolah menengah atas iaitu Tingkatan 5, sama ada menerusi laluan akademik atau laluan teknik dan vokasional  yang setara. Komitmen ini termasuk memastikan semua murid mendapat tempat di sekolah dan kanak-kanak yang kini tidak bersekolah didekati secara proaktif, serta memastikan semua murid memenuhi standard minimum yang diterima, iaitu lulus mata pelajaran teras Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral pada akhir Tingkatan 5. Sementelahan pula, pelajar perlu belajar untuk mencari maklumat dan mempunyai keinginan untuk tahu yang tinggi terhadap sesuatu yang dipelajari agar mampu mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Dengan demikian, mereka boleh menghubungkan disiplin ilmu dan mencipta ilmu yang baharu. Murid juga perlu menguasai kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Pada peringkat yang paling asas, murid-murid perlu menguasai sepenuhnya kemahiran literasi dan numerasi. Dengan demikian, usaha kerajaan untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama pasti akan tercapai.

Di samping itu, usaha yang diambil oleh kerajaan untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama ialah memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan digalakkan untuk mempelajari bahasa tambahan. Hal ini demikian kerana kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia telah mewujudkan persekitaran semula jadi yang kondusif untuk melahirkan murid yang menguasai kemahiran dalam lebih daripada satu bahasa. Contohnya, pelajar yang mendapat pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua, dalam masa yang sama bukan sahaja dapat menguasai bahasa Mandarin bahkan dapat menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris sekali gus dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Penguasaan lebih daripada satu bahasa bukan sahaja mendatangkan faedah kepada diri pelajar malah dapat membantu murid untuk menyertai tenaga kerja global. Oleh itu, aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia adalah untuk memastikan setiap murid dari peringkat rendah hingga menengah, berpeluang untuk mempelajari bahasa tambahan. Dengan menguasai bahasa tambahan, pelajar akan dapat menyelami pelbagai budaya kaum di negara ini. Selain itu, peluang pekerjaan untuk pelajar yang dapat menguasai bahasa tambahan adalah amat tinggi. Hal ini demikian kerana majikan lazimnya gemar mengupah pekerja yang dapat menguasai bahasa tambahan kerana mereka dapat berkomunikasi dengan para pelanggan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa serta dapat melicinkan apa-apa urusan dengan pelanggan. Pendek kata, langkah kerajaan untuk memastikan setiap murid menguasai bahasa tambahan pasti dapat melahirkan modal insan minda kelas pertama.

Akhir sekali, kerajaan mengambil langkah untuk mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama di negara ini. Modal insan minda kelas pertama dipertaruhkan untuk memacu pembangunan negara dalam merealisasikan Wawasan 2020. Oleh itu, amatlah wajar aspek pendidikan guru menjadi agenda utama kementerian. Sesungguhnya, guru yang baik akan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran serta peka terhadap perkembangan pendidikan terkini dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman. Hal ini akan dapat membuat diri pendidik bersedia menerima sebarang perubahan pada sistem pendidikan selari dengan keperluan masa kini. Guru perlu mengajar murid untuk mempraktikkan ilmu dan mengaplikasikan serta mencetuskan idea baharu bagi menghasilkan modal insan yang setanding dengan aras antarabangsa sekurang-kurangnya pada tahap kategori tiga teratas dalam sistem pendidikan terbaik dunia menjelang wawasan 2020. Pendapat ini jelas disokong dengan kata-kata YB Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein dalam Perutusan Tahun Baru 2006 iaitu hasrat kita adalah untuk memastikan bukan sahaja kita dapat melahirkan guru yang berkualiti, tetapi lebih jauh daripada itu, iaitu untuk memastikan mereka yang berkualiti ini kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Kualiti guru merupakan faktor yang paling signifikan dalam menentukan keberhasilan murid kerana guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Hal ini bermaksud guru adalah contoh kepada murid-murid dan perlu memberi teladan yang baik kepada setiap pelajar. Oleh itu, profesion keguruan akan menjadi lebih berprestij dan elit apabila pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30% terbaik dalam negara. Guru pelatih akan menerima latihan yang sebaik mungkin dari mula mereka mengikuti program latihan hingga mereka bersara. Selaras dengan itu, kerajaan juga mengetatkan syarat kelayakan guru mulai tahun 2013 kerana hanya calon yang terbaik sahaja yang akan dipilih untuk mengikuti latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru. Hal ini bermakna kementerian akan meninggikan syarat kelayakan kemasukan ke profesion keguruan bagi memastikan semua guru yang mengikuti setiap latihan perguruan memenuhi syarat minimum kelayakan akademik. Kementerian akan memastikan standard yang sama digunakan dalam program latihan perguruan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Bagi memenuhi hasrat melahirkan guru berkualiti, kementerian akan memastikan kualiti kurikulum dan pensyarah ditingkatkan. Kementerian juga akan memastikan hanya pelatih yang terbaik sahaja yang akan lulus dan dijamin penempatan di sekolah awam. Dengan demikian, hanya guru-guru pelatih yang cemerlang sahaja akan mendapat penempatan terlebih dahulu di sekolah dan mula melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang pendidik yang berintegrasi dan berakauntabiliti serta berkebolehan untuk melaksanakan apa-apa tugasan yang diamanahkan oleh pihak sekolah.

Kesimpulannya, kerajaan amat menitikberat sistem pendidikan di negara ini demi mencapai standard pendidikan bertaraf antarabangsa. Pelbagai inisiatif telah diambil untuk memastikan aspirasi negara tercapai dan mendukung matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan pelajar yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan fizikal. Maka itu, semua pihak perlulah menggembleng tenaga ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah agar aspirasi negara untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama dapat dicapai. Justeru itu, tanggunggjawab ini bukan terletak pada bahu kerajaan sahaja tetapi melibatkan gandingan dan kerjasama semua pihak untuk menjayakan usaha yang dilaksanakan ke arah melahirkan modal insan minda kelas pertama. Sekolah turut memainkan peranan yang amat penting untuk membentuk pelajar yang berkualiti dan berdaya saing serta memiliki sifat kepemimpinan yang terpuji kerana pelajar yang cemerlang adalah merupakan tampuk kepimpinan negara. Tegasnya, kemajuan negara kita bergantung kepada keberhasilan semua pihak untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama di negara ini.






           
           
           

            

Monday, 21 April 2014

Pencemaran Udara

DEFINISI PENCEMARAN UDARA

 
     Pencemaran udara bermaksud satu keadaan yang melibatkan bahan kimia, jirim zarah yang terkandung dalam udara sehingga berlakunya perubahan dan ketidakselesaan. Bahan-bahan tersebut terampai di udara dan memberi kesan negatif kepada manusia,tumbuhan dan haiwan. Bahan-bahan ini akan masuk ke dalam tubuh manusia melalui pernafasan dan berupaya menyekat pengaliran oksigen ke dalam salur-salur darah.

     Menurut Wark dan Warner (1901), pencemaran udara ialah keadaan yang melibatkan kehadiran satu atau lebih bahan pencemar atau gabungannya dalam atmosfera dalam kuantiti tertentu pada suatu jangka waktu yang boleh menyebabkan darurat kepada kehidupan manusia, haiwan atau mengganggu suasana kehidupan. Menurut Wikipedia Bahasa Melayu, pencemaran udara ialah pelepasan bahan kimia yang berbahaya ke dalam atmosfera.

     Selain itu, pencemaran udara juga boleh didefinisikan sebagai terdapatnya gas, cecair atau zarah yang terkandung dan terampai di atmosfera sehingga berlakunya perubahan dan menjejaskan kehidupan atau bahan-bahan lain. Bahan-bahan tersebut terampai di atmosfera dan memberi kesan negatif kepada manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan serta alam sekeliling. Hal Ini disebabkan oleh gas dan bahan tercemar akan masuk ke tubuh manusia melalui pernafasan dan berupaya menyekat pengaliran oksigen ke dalam salur-salur darah. Hal ini boleh menimbulkan pelbagai penyakit seperti penyakit barah, asma, kekejangan dan anemia. Selain itu, bahan-bahan seperti habuk, kabus, wap atau bahan-bahan yang boleh menghalang penglihatan mata juga merupakan contoh bentuk pencemaran udara.
     

Apakah yang dimaksudkan dengan RIMUP ?

Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan


Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) mendefinisikan pendidikan sebagai perihal mendidik. Konsep pula dinyatakan sebagai pengertian am atau idea yang mendasari sesuatu. Justeru itu, konsep pendidikan dapatlah disimpulkan sebagai pengertian am atau idea yang mendasari perihal mendidik.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), integrasi bermaksud penggabungan atau pergabungan dua atau beberapa kaum (unsur, bahagian dan lain-lain) menjadi satu kesatuan. Manakala nasional pula berkaitan dengan bangsa dan kebangsaan. Program integrasi nasional ialah aktiviti penggabungan dua atau beberapa kaum yang berkaitan dengan bangsa dan kebangsaan. Kerajaan amat menitikberat perpaduan kaum di negara ini. Pelbagai usaha telah dijalankan bagi memupuk semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut Zulhilmi Paidi (2005), sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk, cabaran yang paling utama yang terpaksa dipikul oleh para pemimpin negara ialah mengekalkan hubungan baik antara penduduk. Walaupun pada umumnya selepas mencapai kemerdekaan, Malaysia sering digambarkan sebagai sebuah negara yang aman dan masyarakatnya bersatu padu, namun gambaran ini musnah akibat berlakunya peristiwa rusuhan pada 13 Mei 1969.

Peristiwa 13 Mei merupakan peristiwa yang sangat penting dalam sejarah perkembangan negara dan bangsa Malaysia. Pada umumnya, kepentingan peristiwa tersebut menjadi satu titik utama ke arah pemikiran semula dasar-dasar negara dan proses re-enggineering masyarakat dilakukan dengan komprehensif meliputi semua bidang iaitu ekonomi sosial dan politik. Ia bertujuan merapatkan semula jurang antara kaum yang selama ini wujud dalam hubungan sosial mereka.

Bagi melaksanakan proses pembangunan di Malaysia, para cendekiawan dan pemimpin negara sudah merancang beberapa agenda yang bakal mendatangkan faedah yang besar untuk negara. Keperluan agenda-agenda tersebut adalah bagi mengatasi masalah-masalah yang sedia ada, malah juga bagi mendatangkan kemajuan demi membangunkan negara. Antara dasar-dasar baru yang diperkenalkan ialah Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan pengenalan kepada Rukun Negara yang merupakan ideologi nasional.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melancarkan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sejak tahun 1986. Program ini pada awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan  ke semua sekolah rendah dan menengah pada tahun 2005.

KPM memandang berat akan kepentingan hubungan rapat yang dijalin dalam kalangan murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan perpaduan antara mereka. Dengan adanya persefahaman dan berbaik sangka maka akan timbul suasana hormat-menghormati terhadap agama, budaya, dan adat resam sesuatu kaum dengan kaum yang lain.

KPM menyediakan peluang kepada murid pelbagai kaum untuk bergaul mesra secara sedar dan terancang. Proses perpaduan ini dapat dipupuk dan dibina agar semangat tersebut dapat diamalkan dalam kalangan masyarakat. Usaha ini dijana semula ke arah merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni.

Sehubungan dengan itu, sekolah memainkan peranan yang amat penting untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum di negara ini. Para pelajar perlu dipupuk dengan nilai-nilai murni supaya mereka saling menghormati antara satu sama lain sejak peringkat awal lagi.

Maka itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Batu 15 telah mengadakan sambutan Hari Terbuka Sekolah untuk warga sekolah khususnya kepada para guru, pelajar dan ibu bapa. Sambutan ini diadakan bagi memupuk perpaduan kaum dalam kalangan guru, pelajar dan ahli keluarga malahan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara warga sekolah.