Tuesday 22 August 2017

Pewaris Songket Melayu

Songket keluaran pengusaha terkenal, Puan Noriah binti Ashari, sememangnya tidak asing bagi peminat songket tenunan dari Terengganu.

     Keistimewaan songket keluaran syarikat Puan Noriah ialah kepelbagaian warna serta rekaan corak yang eksklusif. Songket keluaran syarikatnya juga menjadi pilihan kerabat diraja dan golongan atasan kerana kualitinya yang tinggi.

     Beliau memberitahu bahawa songket memberikan pengaruh yang besar dalam hidupnya. Kegigihan ibunya menghasilkan dan memasarkan songket menjadi pendorong kepada beliau. Untuk mengusahakan perusahaan songket secara besar-besaran tidaklah mudah. 

     Beliau juga menyatakan bahawa pada peringkat awal, beliau menjalankan perniagaan dari rumah. Selepas 10 tahun beroperasi dari rumah, perniagaannya semakin maju. Kini, beliau telah membuka sebuah kedai di Kuala Lumpur, manakala adik-beradiknya mengendalikan kedai masing-masing di Terengganu.

     Sebagai peniaga, beliau juga menyatakan bahawa beliau telah mempelbagaikan  fungsi songket. Selain dijadikan pakaian, tenunan songket juga dijadikan hiasan dalaman, tas tangan, kasut wanita dan cenderamata korporat.